Thursday, February 19, 2009

BAGAIMANA MENJADI ORANG YANG HEBAT


Amat mudah bercerita bagaimana menjadi orang yang hebat tetapi sebenarnya jalannya bukan semudah seperti yang diceritakan. Seorang yang hebat perlu tahu bagaimana dia menjadi hebat dan dia akan menjadi lebih hebat apabila dia dapat mencipta seorang lagi seperti dirinya malahan lebih hebat dari dirinya.

Dalam hidup ini, apabila kita membantu orang dan orang tersebut lupa kepada kebaikan kita adalah suatu yang normal tetapi apabila kita membantu orang dan orang tersebut ingat akan kebaikan kita adalah suatu yang luar biasa. Maka tidak ada apa yang perlu di sedihkan jika orang lupa akan kebaikan kita kerana sememangnya sifat manusia mudah lupa.

Apabila seseorang itu menghulurkan pertolongan seharusnya dia perlulah ikhlas namun ingatlah tiada orang di dunia ini yang membantu tanpa mengharapkan imbalannya.

Seorang ibu yang melahirkan anak, kemudiannya mendidiknya sehingga dewasa dan menjadi orang yang berguna masih mengharapkan balasan dari anaknya sekurang-kurangnya doa. Apatah lagi dari manusia lain yang tiada pertalian darah dengan kita, pastinya mengharapkan sesuatu dari kebaikan yang dihulurkan walaupun hari ini dia tidak memintanya. Walaupun lidah tidak menuturkannya, namun di hatinya pasti mengharapkan balasan sekurangnya ucapan terima kasih.

Kali ini, saya ingin mengajak sahabat-sahabat untuk menjadi manusia luar biasa lebih dari hero yang kita kenali kerana hero tersebut hanyalah membantu orang sahaja namun kita lebih hebat kerana ingat bantuan orang yang membantu kita.

Sejak dari kecil ibu ayah mendidik untuk mengucapakan terima kasih apabila seseorang melakukan kebaikan kepada kita, kita tahu akan itu. Namun tahu sahaja tidak cukup jika kita tidak menuturkannya dan mengamalkannya sentiasa.

Untuk belajar menjadi manusia luar biasa, antara yang perlu kita lakukan adalah belajar berterima kasih. Yang paling utama adalah belajar berterima kasih dengan Tuhan. Cuba kita bermuhasabah diri dan memikirkan berapa kalikah dalam sehari kita berterima kasih dengan Allah atas segala nikmat yang diberikanNya? Adakah sama banyaknya dengan nikmat yang diberikanNya? Rupanya tanpa kita sedari, kita telah kufur nikmat. Cuba bayangkan jika kita tidak mampu membuang air besar selama seminggu?

Jadi mulai hari ini, cuba untuk mengucapkan “Terima kasih Ya Allah kerana……..” dan perbanyakkan sujud syukur. Tidak perlu menuggu mendapatkan kejayaan dalam peperiksaan atau suatu durian runtuh untuk melakukan sujud syukur sebaliknya setiap hari selepas solat fardhu yang ditunaikan kita lakukan sujud syukur atas pemberiannya yang terlalu banyak dan tidak terkira.

Setelah hati menjadi lunak, anda akan menjadi insan yang luar biasa yang bukan hanya tahu berterima kasih dengan Tuhan malahan dengan sesama manusia. Anda layak mendapat anugerah insan luar biasa yang insya-Allah mudah mendapat pertolongan Allah swt dan manusia sejagat.

Memetik kata pujangga, “ To put the world right in order, we must first put the nation in order, to put the nation in order, we must first put the family in order, to put the family in order, we must first cultivate our personal life; we must set our hearts right”.

Wallahua’alam….