Tuesday, August 9, 2011

Dermalah Organ Demi Sebuah Kehidupan....


Assalamualaikum...

Alhamdulillah, sesungguhnya hari yang mendatang ini adalah hadiah dan anugerah yang diberikan oleh Allah yang sangat bernilai harganya yang tidak boleh dipersia-siakan. Jika mahu dihitung akan nikmat Allah kepada kita, nescaya tidaklah mampu dengan daya dan upaya setitik air laut cuma. Namun, sejauh mana kita menghargai nikmat yang Allah bagi kepada kita dengan memberi kebaikan kepada orang lain?

Siapa yang lebih cinta maka dialah yang lebih banyak memberi. Dengan ini orang yang kurang memberi, itu petanda 'kurang'nya cinta. Apabila kurangnya rasa cinta, tergugatlah persaudaraan dan rengganglah persahabatan.

Allah memberi untuk kita memberi...

Islam dan Hukum Pendermaan Organ

Allah s.w.t mensyariatkan semua peraturan demi memastikan kemaslahatan manusia iaitu memenuhi keperluan darurat, hajat dan taksiniyat(kesempurnaan). Dengan inilah undangundang syarak dilihat sebagai jalan untuk memenuhi salah satu daripada keperluan tadi. Kesyumulan agama Islam ini membenarkan pelbagai petikaian pendapat di kalangan ulamanya selagi ia tidak lari dari hukum asas. Contohnya sembahyang lima waktu sehari semalam adalah ibadah yang diwajibkan. Namun begitu cara berpakaian sewaktu sembahyang tidak ditetapkan. Hukum asasnya adalah ia menutup aurat. Jenis pakaian dan warna pakaian telah ditentukan ikut mazhab-mazhab tertentu. Walaupun ia berbeza di antara satu mazhab dengan yang lain ia tetap tidak lari dari hukum asas. Begitu jugalah halnya dengan pendermaan organ. Ada pendapat yang mengharuskannya berdasarkan alasan-alasan tertentu ada juga yang tidak mengharuskannya.

Masalah Etika dan Autoriti Hukum Islam Yang Tidak Menyokong Pendermaan Organ

1. Islam mengharamkan sesiapa sahaja yang mencari kebinasaan dan mewajibkan untuk

dihapuskan segala yang memudaratkan.

- Perbuatan mengambil organ dari tubuh badan seseorang itu dianggap sebagai melakukan sesuatu kemusnahan. Ini adalah kerana orang yang diambil organ darinya itu akan mengalami kecacatan. Ia seolah-olah membinasakan haknya untuk hidup atau mati dengan sempurna.

2. Islam tidak membenarkan penyiksaaan ke atas mayat dilakukan.

Mengambil salah satu daripada organ si mati akan menyiksa mayat tersebut. Ini adalah kerana setiap anggota seseorang itu akan disoal pada hari kemudian untuk mengesahkan setiap perbuatan yang telah dilakukan semasa hidup di dunia.Penyiksaan ke atas mayat dilarang berdasarkan sebuah hadith yang sahih diriwayatkan oleh Malik dan Abu Dawud RA dari A’syah RA dari Rasulullah s.a.w. Sabda baginda:

Maksudnya: Mematahkan tulang mayat samalah dengan mematahkannya di masa hidupnya.

Menurut Dr. Abduh Asy-Syawqi, dalam hadith ini Rasulullah S.A.W melarang mencincang atau menghodohkan jenazah sebagaimana yang dilakukan oleh orang-orang Arab di Jahiliyah.Hj. Syeikh Hasanain Makhluf R.M berpendapat bahawa keharusan yang dikatakan di dalam hal pemindahan organ bukanlah sesuatu yang umum. Dalam ertikata lain, pemindahan ini boleh dilakukan terhadap sesiapa sahaja tanpa mengambil kira suasana yang ada. Ia bukan sahaja tidak berdasarkan keperluan darurat, tetapi mengundang keburukan yang lebih besar. Keburukan ini adalah tidak setimpal dengan tujuan untuk menyembuhkan penyakit pesakit kerana ia menimbulkan kemarahan kepada waris mayat tersebut. Beliau telah mencadangkan bahawa pemindahan organ (khususnya mata) hendaklah ditumpukan kepada sebahagian mayat yang tidak mempunyai ahli waris dan penjenayah-penjenayah yang telah dijatuhkan hukuman qisas.

3. Islam melarang perbuatan menjual beli organ

Kebanyakkan pendapat yang menentang kegiatan pemindahan organ adalah kerana ia dapat menyumbang kepada kegiatan menjual beli organ. Kegiatan ini telah banyak dilakukan di negara-negara seperti India dan China. Dalil syarak yang mengharamkan jual beli organ adalah sebuah hadis yng diriwaytkan oleh Ibn Hjar Qastalani, Al Fath Al Bari, Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud:

Rasulullah SAW bersabda. Allah berfirman: “Ada tiga golongan manusia yang Aku akan memusuhinya pada hari kiamat. Seorang lelaki yang memberi sesuatu keranaku, kemudian ia khianat, seseorang yang menjual seseorang yang merdeka dan memakan hasil jualannya dan seseorang lelaki yang menyewa seorang pekerja, lalu pekerja itu menyempurnakan kerjanya, tetapi malangnya lelaki yang menyewanya itu tidak menyempurnakan upahnya.”

Etika dan Autoriti Hukum Islam Yang Menyokong Pemindahan Organ

Pendapat yang mengatakan bahawa pemindahan organ itu tidak boleh dilakukan adalah berdasarkan autoriti bahawa Allah s.w.t mengharamkan sebarang pembinasaan di lakukan di muka bumi ini dibidas oleh pendapat yang menggunakan Firman Allah yang berikut:

1. Allah swt tidak menyukarkan umat Islam

Al Maidah: 5/6; Maksudnya: “Allah bukan mahu menyukarkan kamu”

Al Hajj: 78; Maksudnya: “Dan Ia tidak membebankan kamu dengan sesuatu kesukaran

di dalam agama.”

Bersesuaian dengan maksud ayat di atas, Islam itu bukanlah suatu agama yang menyukarkan umatnya.Ada pendapat yang mengatakan bahawa organ tidak boleh diambil dari seseorang yang telah mati di atas sebab-sebab yang telah dinyatakan di atas. Al Razi menyanggah pendapat ini. Beliau berpendapat bahawa tiada lagi kesakitan setelah mati. Ini adalah kerana mereka yang benar-benar percaya akan kewujudan hari akhirat, sudah tentu kehidupan di dunia ini dipenuhi dengan usaha-usaha untuk berbuat kebaikan dan cuba sedaya upaya untuk memenuhi segala tuntutan agama. Perkara ini jugalah yang akan mengurangkan kesakitan setelah mati.

2. Prinsip apabila bertembung dua kemudaratan

Memenuhi dan memelihara keperluan darurat manusia adalah merupakan salah satu daripada perkara-perkara yang dituntut oleh syara'. Hukum asal yang mengharamkan pemindahan organ manusia adalah merupakan batasan yang bertujuan menghindarkan kemudaratan. Jika pemindahan itu memudaratkan penderma maka ia perlu dielakkan. Manakala jika tanpa pemindahan tersebut pesakit yang sepatutnya menerima organ itu akan berada di dalam kemudaratan yang lebih hebat maka pemindahan organ itu adalah diharuskan. Etika perubatan dalam Islam adalah diasaskan oleh prinsip memuliakan kehidupan manusia serta menjaga nilai-nilai yang terdapat dalam sesebuah kehidupan. Ini termasuklah apabila ‘’bertembung dua kemudaratan, maka pilihlah kemudaratan yang sedikit”.

Farookh Busara menambah pula bahawa selain prinsip dua kemudaratan ada satu prinsip etika lain yang terpakai dalam perubatan iaitu ‘keperluan mengatasi larangan’.Ini bermakna bila timbul suatu keadaan yang memerlukan satu keperluan dilaksanakan tetapi terdapat larangan tertentu, maka larangan itu boleh diketepikan. Beliau seterusnya mengatakan dengan merujuk kepada prinsip-prinsip etika di atas apabila terdapat dua kemudaratan iaitu samada mahu mengorbankan kehormatan mayat atau mengorbankan nyawa orang yang memerlukan organ, maka menyelamatkan nyawa seseorang akan mendatangkan kemudaratan yang sedikit.

3. Keizinan atau Persetujuan Penderma

Di dalam pemindahan organ, isu utama yang sering diberi penekanan adalah soal mendapatkan persetujuan daripada penderma. Persetujuan itu haruslah dipastikan oleh pegawai-pegawai perubatan yang terlibat. Di dalam Islam kesolehan dan keikhlasan di dalam peribadi doktor dititikberatkan oleh ahli perubatan Yunani. Ia dianggap sebagai penjaga badan dan juga jiwa manusia. Penekanan ini adalah sesuatu yang diiktiraf di dalam semua kebudayaan yang maju pada zaman lampau dan zaman pertengahan.Seorang ahli perubatan Islam yang terkenal, Al-Razi, mencadangkan doktor dan pesakit perlu mematuhi etika displin.Bagi beliau para pegawai perubatan perlu mendapatkan kepercayaan daripada pesakit. Ini menunjukkan bahawa Islam amat menitikberatkan hak seseorang pesakit dan ini termasuklah hak seorang penderma untuk memberi persetujuan. Ulama-ulama Islam telah menggubal lima teori asas hak manusia yang menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menjaganya iaitu hak perlindungan untuk hidup, perlindungan harta benda, kepercayaan, kehormatan dan kebebasan berfikir.Hak-hak ini adalah selaras dengan hak yang perlu dijaga di dalam mana-mana proses pemindahan organ.Ini bermakna walaupun manusia itu dimuliakan dan tidak boleh dilakukan kemusnahan pada tubuh badannya tetapi di dalam keadaan di mana dia merelakannya untuk kesejahteraan orang lain, keputusannya harus dihormati.

4. Islam mementingkan nilai kebajikan dan kasih sayang sesama manusia.

Di dalam firmanNya:

Maksudnya:”… dan sesiapa yang telah menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah

dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya…’ Surah Al. Maidah 5:32

Ayat ini menerangkan betapa pentingnya nyawa manusia yang tidak boleh ditukar ganti.

Sabda Rasulullah s.a.w. maksudnya:

‘Allah tidak akan mengasihani sesiapa yang tidak mempunyai perasaan belas kasihan terhadap

manusia.’

Hadis jenis ini bertujuan untuk memaparkan penekanan Al Quran tentang sifat pemurah Allah yang tidak terbatas. Firman Allah s.w.t

Maksudnya: ‘Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama? …….dan orang yang tidak

memberi bantuan sedikit pun pada orang yang memerlukannya.’ Al Maun: 107: 1-7

Firman Allah s.w.t di atas menjelaskan bahawa membantu seseorang yang memerlukan adalah dituntut oleh Islam. Ini bermakna jika kita berkemampuan mendermakan organ untuk membantu insan lain meneruskan hidupnya maka sewajarnya kita berbuat demikian.

Firman Allah s.w.t (16:90)

‘Islam teaches that God has provided man with a great variety of natural remedies to cure

his ills’

Bermakna ajaran Islam itu mengatakan bahawa Allah s.w.t itu telah menyediakan berbagai cara untuk mengubati penyakit-penyakit. Setiap penyakit itu ada ubatnya. Tetapi dalam mengubati penyakit, mereka-mereka yang terlibat iaitu samada pesakitnya sendiri atau pengubatnya atau jenis ubatan yang digunakan mestilah selaras dengan prinsip-prinsip perubatan yang berkaitan dalam Islam. Ibn Khaldun dengan jelasnya mengatakan masyarakat manusia itu adalah sesuatu yang penting. Setiap individu memerlukan individu lain untuk mendapatkan sesuatu yang diperlukannya. Sebuah kehidupan dan kewujudan manusia adalah mustahil melainkan mereka bekerjasama di dalam mendapatkan makanan dan keperluan mereka.

Khalifah Ummar al- Khattab r.a telah menentukan bahawa jika seseorang lelaki mati kerana kelaparan dalam sesuatu daerah, masyarakat di daerah itulah yang wajib membayar fidyah seolah-olah mereka telah membunuhnya. Kaedah ini boleh dikiaskan kepada keadaan seorang pesakit yang mati akibat kekurangan darah atau kerosakan ginjal yang tidak berganti. Maksud beberapa ayat al- Quran dan hadis boleh dikaitkan dengan kaedah ini:

‘Contoh orang mukminin dalam kerahmatan, rasa kasih sayang serta kelembutan mereka, ialah umpama jasad, jika satu bahagian mengadu kesakitan, bahagian-bahagian lain juga turut bertindak’ (al Bukhari) ‘…dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin) atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan..’ ( Surah Al- Hasyr,59:9)

‘…dan sesiapa yang menyelamatkan nyawa, maka seolah-olah dia telah menyelamatkan nyawa semua umat manusia’ ( Surah Al-Maidah, 5:32)

Penutup

Secara keseluruhannya bolehlah dikatakan bahawa orang Islam percaya bahawa kehidupan manusia di dunia ini hanyalah sementara, oleh itu kita perlu menghargainya. Berkaitan isu pemindahan organ ini, keseimbangan yang wajar perlu wujud dalam mengimbangi hak diri sendiri untuk hidup dan mati dengan selesa dan hak orang lain untuk turut hidup dengan selesa. Dari perbincangan di atas kita mampu melihat bahawa banyak autoriti dan persoalan etika dalam Islam yang menyokong usaha pendermaan organ ini. Kehidupan itu dipinjamkan oleh Allah s.w.t kepada makhluk-makhluknya. Oleh yang demikian setiap seorang tidak mempunyai possesi mutlak ke atas dirinya. Ibarat seorang penyewa yang perlu menjaga harta yang disewanya sebaik mungkin. Ketika tempoh sewaan itu kita perlu membayar secara berterusan. Begitu juga kita diibaratkan perlu membayar secara berterusan kepada Pencipta manusia iaitu membayar dengan melakukan perkaraperkara yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Ini selaras dengan pendekatan Islam ‘amal ma’aruf nafi mungkar’ Isu pendermaan organ boleh dilihat sebagai terangkum dalam bidang fardhu kifayah.Langkah darurat ini tidak boleh dipaksakan ke atas seseorang individu, dan tidak pula boleh mendedahkan pihak penderma kepada bahaya. Profesion perubatan bertanggungjawab mengendalikan usaha ini dari sudut cara pemindahan dan perundangannya selaras dengan etika perubatan Islam. Akhir kata etika perubatan Islam mementingkan penyelamatan sebuah nyawa. Mereka berpegang bahawa kematian itu adalah sebahagian dari kontrak bersama Penciptanya dan sebahagian dari sebuah perjalanan di muka bumi ini.

Wallahualam........

No comments: